Wednesday, March 9, 2011

Menangislah Kerana Takutkan Allah!





Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah yang mempunyai 99 nama yang indah dan yang mempunyai zat tersendiri.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk mengucapkan syukur dan memohon taubat kepada Allah diatas kekhilafan kita selama ini kepada-Nya.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah memperjuangkan agama Allah yakni agama Islam iaitu satu-satunya agama yang diterima disisi Allah dan agama yang sehingga sekarang memberi rahmat kepada seluruh umat manusia.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”
Dalam sebuah kitab Daqa’iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, “Wahai Tuhanku,Rasul Engkau nabi Muhammad S.A.W telah bersabda,sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepadaMu.”

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan , telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.”

Subahanallah, Maha suci Allah Yang Maha Pengampun wahai sahabatku sekalian.

Dalam sebuah kitab lain,Bidayatul-Hidayah,diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti,akan didatangkan neraka jahanam denagn mengeluarkan suaranya,suara nyalaan api yang sangat menggerunkan ,semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,

“Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan.”

(Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik saja mereka menghampiri neraka,mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu,akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan , “Diriku,diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang Nabi sahaja yang akan berkata, “Umatku,umatku.”

Baginda ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka Jahim seperti gunung –gunung,umat Nabi Muhammad berusaha mengahalanginya dengan berkata, “Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat,demi hak orang-orang yang ahli sedekah,demi hak orang-orang yang khusuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali.”

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali,lau malaikat Jibril berkata,

” Sesunggguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W."

Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya.
Berkata Jibril A.S. ,“Wahai Rasulullah,ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya.”

Lalu baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.
Setelah itu RAsulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S., “Wahai Jibril,apakah air itu?”

Maka Jibril berkata,” Itulah air mata orang derhaka dalam kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiram api itu.” Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W,
“ Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepadaMu,belum tidak ditemunya air mata.”

Sahabat yang dirahmati Allah, cuba kita kembali melihat kepada diri kita sekarang ini. Adakah kita pernah mengalirkan air mata kerana takutkan Allah? Jika kita berbuat demikian ,Alhamdulillah rahmat Allah sentiasa bersama dengan kita,namun jika sebaliknya bertaubatlah kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat. Janganlah kita bazirkan air mata kita dengan menangisi perkara-perkara yang tidak berfaedah dan perkara yang melalaikan kita daripada mengingati Allah S.W.T seperti kecewa dengan perhubungan yang tidak halal untuk kita, berputus asa daripada mengecapi kejayaan dan perkara-perkara sedemikian. Ketahuilah,dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang..
InsyaAllah..

No comments: