Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, Allah masih memberikan kita peluang untuk menikmati bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan ini. Bersyukurlah kita kepadaNya kerana Dia telah memanjangkan usia kita dan telah menyampaikan kita kepada bulan yang cukup indah ini. Tidak lupa juga selawat dan salam keatas junjungan mulia kekasih Allah,Nabi Muhammad S.A.W yang telah menjadi qudwah hasanah dan panduan dalam hidup kita.
Ketika aku duduk termenung menantikan bulan Ramadhan,aku teringat peristiwa di Bulan Ramadhan pada tahun yang lalu.
Seorang sahabat ku yang bukan beragama Islam telah datang bertanya kepadaku..
“Roy, dah lame aku nak tanya kau tentang ni,tapi selama ni aku tunggu mase yang sesuai je. Aku nak tanye kau ape kelebihan Bulan Ramadhan ni pada umat Islam?dan ape kelebihan puasa di Bulan ni?”
Aku tersenyum dan memegang bahu sahabatku,Kumar. Seorang yang beragama Hindu dan kuat pegangannya.
“Kumar,aku suke soalan kau ni. Ok lah, aku cuba 'explain' kat kau dengan bahasa dan kefahaman yang paling mudah untuk kau faham.
Puasa dalam Islam ni bukan setakat tak makan dan tak minum di siang hari tapi puasa dalam Islam ni cuba untuk latih diri manusia untuk tahan nafsu daripada melakukan benda-benda yang tak elok. Contoh yang senang aku bagi, kalau seseorang tu perokok tegar,dalam bulan puasa dia nak ke tak nak mesti tahan diri die daripada hisap rokok tu,dalam mase yang same die boleh kurangkan ketegaran rokok atau berhenti terus.
Islam ni agama yang 'simple' je. Islam ni tak menyusahkan umat die malah menolong umat die untuk baiki diri dan jaga kesihatan.
Dari sudut saintifik, bile kite puasa penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain macam penyembuhan, imun atau metabolisme badan. Proses penggantian tisu yang rosak pun jadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien akan hasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat. Kajian pun turut mendapati berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa menjadikan badan menyimpan lebih tenaga. Haa, ni lar kelebihan puasa Kumar.
Orang Islam memang diwajibkan puasa di bulan Ramadhan. Ok,salah satu kelebihan bulan Ramadhan ni, setiap amalan or ibadah yang dilakukan akan dilipat kali gandakan pahalanya. Contohnya kalau hari biasa aku bace Al-quran satu ayat aku dapat 10 ganjaran,tapi kalau dalam bulan Ramadhan ni aku boleh dapat lebih daripada 10 ganjaran,berganda-ganda lagi..haa..mesti la lebih amalan muslim akan buat untuk dapat bonus ni kan. Bulan Ramadhan ni jugak akan lahir ketenangan dalam hati umat Islam sebab syaitan-syaitan kena ikat dan tak boleh ganggu manusia. Jadi yang tinggal nafsu kite je. Sebab tu lar jugak nak latih kite kawal nafsu kite..macam tu lar kumar,” kataku sambil menepuk bahu Kumar.
Terpancar wajah kepuasan dari raut wajah Kumar dengan penjelasan ku.
“Ooo..baru aku jelas sekarang ni.Bagus jugak kan sebab dapat sihatkan badan. Tak sangka aku ade kawan yang bakal engineer tapi boleh tau pasal medic ni. Kau ni macam doc je mase jelaskan kat aku tadi..Aku nak cuba lar puasa. Nanti boleh kau ajar aku sikit-sikit pasal puasa ni lagi ye”,jawab Kumar sambil tersenyum gembira.
Di dalam Surah Al Baqarah ayat 183, Allah Taala telah berfirman mafhumnya:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa" [Al Baqarah:183]
Potongan ayat ini jelas menunjukkan bahawa setiap muslim wajib menunaikan ibadah puasa kerana ibadah puasa juga merupakan salah satu Rukun Islam. Menurut ulama’ pada ayat ini Allah mewajibkan puasa kepada semua manusia yang beriman, sebagaimana diwajibkan kepada umat-umat sebelum mereka supaya mereka menjadi orang yang bertakwa.
Dan Hadis dari riwayat Bukhari dan Muslim ada menerangkan:
"Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Surga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya" [Bukhari-Muslim]
Jadi sahabat-sahabat sekalian,marilah kita sama-sama meraikan Ramadhan yang mulia ini dengan melipatgandakan amalan-amalan dan ibadah kita kepada Allah SWT kerana anggaplah Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita kerana kita tidak tahu takdir Allah di masa akan datang,samada kita masih sempat ataupun tidak. Rebutlah peluang yang ada sekarang ini untuk mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT.
Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang paling bermakna buat kita semua dalam mencari keredhaan dan hidayah dari Allah SWT.
Wallahualam.